Sejarah Sekolah

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH KEBANGSAAN BUGAYA



Ditubuhkan pada tahun 1960 dengan nama Native Vollentery School Senang Hati. Nama diambil sempena nama kampung yang berhampiran dengan sekolah ini iaitu Kampung Senang Hati yang tenaga pengajarnya mengajar secara sukarela.

Pada mulanya sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan beratap zink dan berdinding daun nipah. Bilangan murid seramai 40 orang dan 4 orang tenaga pengajar termasuk guru besar. Guru Besar pertama ialah Tuan Hj. Sarail Bin Asaali dan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di sekolah.

Pada tahun 1962, bangunan sekolah ini dipindahkan ke tapak sekarang dengan tambahan satu blok bangunan papan. Dua tahun kemudian (1964), sekolah ini telah diambil alih oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPS) dan namanya ditukar kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Bugaya (SRK Bugaya).

Kemudian mendapat sebuah lagi bangunan tambahan dan 2 buah rumah guru divesyen 4. Atas keprihatinan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS), pada tahun 1981, sekolah ini mendapat satu lagi blok tambahan bangunan konkrit 1 tingkat, 6 buah bilik darjah dan 4 buah rumah guru divesyen 3.

Setiap tahun bilangan murid semakin bertambah. Pada tahun 1989, sebuah bangunan konkrit 3 tingkat telah didirikan yang mengandungi 14 buah bilik darjah, Pejabat Am, Bilik Guru Besar, Pusat sumber, Bilik SPBT, Bilik Pendidikan Khas, Surau, Bilik Makmal Sains, Kantin, Bilik Guru dan sebuah rumah pangsa (Flat) 4 tingkat 8 unit.

Pada tahun 1999, SK. Bugaya telah terpilih sebagai printis Kelab Bahasa Arab di Daerah Semporna bermula dari Tahun 1.

Pada tahun 2001, berlaku sedikit pengubahsuaian dengan menyediakan 4 buah Bilik Penolong Kanan, Bilik Disiplin, Bilik Bimbingan & Kaunseling, Bilik Guru dan Bilik Pemulihan Khas.

Arus pembangunan pendidikan telah mengalami perubahan ke arah berteknologi maklumat. Pada tahun 2003, SK. Bugaya sekali lagi telah terpilih sebagai salah sebuah sekolah pertama di Daerah Semporna untuk didirikan makmal komputer, Bilik Bimbingan & kaunseling dan sebuah rumah guru ( kembar konkrit ) bertaraf kelas 1.

Pada akhir 2004, SK. Bugaya telah melancarkan Radio Sekolah yang antara lain bertujuan melatih murid bertutur dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab menggunakan kosa kata yang betul. Selain itu memberi kemudahan kepada semua murid untuk mendengar siaran yang telah dijadualkan tanpa masuk ke bilik radio. Ini bermakna semua kelas akan menerima siaran radio dari bilik radio secara serentak.

Dalam masa yang sama, SK. Bugaya juga telah Berjaya melancarkan Ruangan Galeri Penulis-penulis Sabah hasil kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Badan Bahasa Sabah Cawangan Semporna. Penubuhan Galeri ini merupakan julung-julung kali dalam sejarah Negeri Sabah, antara lain objektifnya ialah memberi peluang kepada murid untuk terus berkarya di samping memelihara khazanah bahasa yang ditinggalkan oleh generasi lampau. Selain itu, murid dapat mengenali wajah penulis-penulis Sabah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama di negeri Sabah.

Kini, bangunan SK. Bugaya tersergam indah setelah mengalami beberapa arus perubahan ke arah Sekolah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. 
 
SKBS (En.Mohd Sahim Bin Hj Abdul Rasid)